I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, November 6, 2010

Mengimbau kenangan bersama Allahyarham Chef Raman ADABI. Al-Fatihah... :`(

Chef Raman Abu Samah, 53 tahun, telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada kira-kira jam 6:30 pagi Isnin, 1hb November yang lalu, iaitu sehari selepas dimasukkan ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chef Raman ADABI, sebelum ini telah menyandang jawatan Pengarah Promosi dan Perhubungan Awam ADABI.

Allahyarham telah disahkan menghidap penyakit batu karang dalam hempedu dan beliau telah pun menjalani pembedahan membuang batu karang, di Colombia Asia Hospital Seremban kira-kira lebih 4 bulan yang lalu, dalam bulan Jun. Selepas pembedahan tersebut, beliau kerap berulang-alik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban. Keadaan beliau menjadi semakin serius sejak 3 minggu sebelum kematiannya. 
* (Maklumat di atas, saya terima sendiri dari ahli keluarga terdekat Allahyarham) *

Jenazah Allahyarham yang dibawa dari Hospital Sungai Buloh telah disembahyangkan selepas solat Zohor di Surau Kampung Kelemak Dalam, kepunyaan Allahyarham bapanya, berdekatan dengan kediaman Allahyarham orangtuanya di Alor Gajah, Melaka.

Atas permintaan beliau semasa hidupnya yang minta dikebumikan bersebelahan dengan kubur ibu/bapanya iaitu di kampung halamannya, terkabul juga apabila jenazahnya dapat dikebumikan bersebelahan dengan kubur Allahyarham ayahnya. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelemak.

Allahyarham bapanya, dikenali sebagai Imam Samah, semasa hayatnya adalah seorang imam dan juga jurunikah (kadhi) di kampung tersebut. Allahyarham Tok Samah (panggilan saya buat ayah beliau) ialah jurunikah yang telah bertanggungjawab menikahkan saya dan suami semasa kami berkahwin 20 tahun yang lalu.

Imam Samah (tengah) menjadi kadhi sewaktu saya dan suami diijabkabulkan
Mulanya saya kurang pasti samada sudah bersedia mengabadikan kisahnya di blog ini atau belum, kerana saya masih merasa sedih di atas kehilangannya, tetapi saya lakukannya juga untuk disimpan sebagai artikel peribadi saya.

Sebenarnya, saya dan Chef Raman mempunyai talian persaudaraan. Walaupun mengikut pangkat, saya sepatutnya memanggilnya dengan panggilan "Pakcik", tapi sejak dari kecil, kami adik-beradik memanggilnya dengan panggilan "Abang Man" sahaja.

Di masa mudanya, Abang Man pernah menetap di Jepun kerana menjalankan bisnes restorannya sendiri iaitu berasaskan masakan Malaysia, yang dinamakan ONLY MALAYSIA RESTAURANT di bandar Shibuya, Tokyo. Ketika itu, restorannya telah mendapat sambutan ramai dan cukup dikenali di Jepun, baik dari kalangan masyarakat tempatan mahupun dari masyarakat luar, termasuklah dari warga Malaysia yang menetap di sana. Beliau juga telah mendapat pelbagai anugerah di atas kecemerlangannya itu.

Di kampung, Abang Man memang dikenali dengan sifatnya yang baik hati, pemurah - baik dari segi wang ringgit mahupun ilmunya dan beliau adalah seorang yang ceria, siapa saja yang mendengar celotehnya, pasti tak kering gusi dibuatnya.

Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah di majlis perkahwinan anak saudara saya (sila rujuk link di sini) iaitu pada 31hb Julai yang lalu, yang diadakan di Dewan Gemala Sari, Bangunan Risda, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Walaupun pada ketika itu, dia dalam keadaan uzur iaitu berjalan dengan menggunakan tongkat, dia gagahi juga untuk menghadiri majlis tersebut dan memandu sendiri ke tempat majlis itu diadakan. Kali terakhir juga saya mendengar suaranya ialah sewaktu dia menelefon saya untuk memberitahu yang dia telah selamat sampai ke rumahnya kerana sewaktu hendak berpisah untuk pulang, saya risaukan keadaannya dan berpesan kepadanya supaya memandu dengan berhati-hati.

Sifatnya yang ceria amat disenangi dan disayangi oleh orang-orang kampung juga saudara-mara dan saya yakin semua yang mengenalinya pasti akan terasa kehilangannya. Bagi saya, beliau cukup istimewa kerana telah dianugerahkan dengan ingatan (memory) yang cukup kuat. Contohnya ialah beliau mampu menyenaraikan salah silah sesebuah keluarga di kalangan saudara mara kami sehingga ke beberapa generasi. Dia pernah memberitahu saya, "A doctor told me that I have a strong memory". Memang benar kata-kata doktor tersebut.

Berikut adalah gambar-gambar kenangan bersamanya sewaktu saya sekeluarga membawa emak ke kediamannya di Senawang, Seremban, dalam bulan Syawal tahun lepas...

walaupun riak mukanya nampak serius, namun kata-katanya begitu mencuit hati
Abang Man dan Mak
Lihatlah, ikan-ikan koinya yang berpuluh ekor, dari jenis grade A yang diimport dari Jepun. Selain dari mempunyai kolam ikan koi, Allahyarham juga ada membela beberapa ekor burung pigeon dan beberapa ekor kucing Parsi.

 
Wazien dan anak sulungnya, Syafiq
bergambar bersama-sama sebelum pulang
Chef Raman telah meninggalkan dua orang anak iaitu Iman Syafiq, 14, dan Liyana Syafiqah, 11. Semoga anak-anak beliau tabah dalam mengharungi hidup mereka tanpa ayah kesayangan mereka di sisi.

Sila ziarah http://jefbuj.blogspot.com/2009/02/chef-rahman-adabi-kuching.html untuk mengetahui serba sedikit mengenai Allahyarham dari sudut pandangan teman rapat beliau, Chef Jef, yang telah lebih dahulu kembali ke Rahmatullah sebelum beliau.

Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Chef Raman dan sahabat beliau, Chef Jef, dan semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang beriman. Al-Fatihah. Amin Ya Robbal 'Alamin.


1 comment: